2.0 Perkahwinan Rasulullah Dan Kehidupan Rumah Tangga Baginda
2.1 Perkahwinan Rasulullah Dengan SITI KHADIJAH Umumnya mengetahui bahawa kebanyakan anak-anak Rasulullah adalah hasil perkongsian hidupnya bersama Khadijah dan boleh dikatakan semua buku sirah, sejarah atau hikayat Nabi yang kita temui menceritakan bahawa Khadijah r.a. berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. semasa umur Khadijah 40 tahun.
Inilah pendapat yang paling popular, sedangkan dalam kitab-kitab ada juga menyebutkan Khadijah berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. pada ketika umur Saidatina Khadijah 35 tahun, 30 tahun, 27 tahun dan 25 tahun.
Mualana Habibur Rahman dalam bukunya telah membuat kajian berkenaan dengan “umur” Aisyah & Khadiah r.a. semasa berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. dan beliau memulakan bukunya dengan sepotong ayat al-Quran:
Maksudnya: Dia lah Yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah Yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan Dengan adanya faedah dan gunanya Yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesarannya) satu persatu bagi kaum Yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu Yang dijadikanNya).
Di bawah ini adalah petikan dari perbahasan beliau berkenaan umur Khadijah r.a. semasa berkahwin dengan Nabi s.a.w. yang saya petik daripada laman web www.darulkautsar.net iaitu dalam Perbahasan Tentang Usia Sebenar Khadijah r.a. Semasa Berkahwin Dengan Rasulullah s.a.w. (Adaptasi dari terjemahan Bahasa Inggeris kertas kerja hasil kajian oleh Maulana Habibur Rahman Siddiqui Kandhalawi). Beberapa pindaan dari teks asal dibuat untuk tujuan menjelaskan fakta. Dikatakan bahawa Ummul Mu’minin Saidatina Khadijah r.a. berumur 40 tahun ketika beliau berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. Ia adalah suatu riwayat yang yang tidak berasas tetapi telah disebarkan sebegitu rupa dan digarap seolah-olah sebahagian daripada ugama. Ini adalah percubaan untuk membuktikan bahawa Rasulullah s.a.w. telah melalui zaman mudanya bersama-sama dengan seorang wanita tua.
Dalam usia lanjut, beliau r.a telah melahirkan empat orang anak perempuan iaitu Zainab, Ruqayyah, Ummu Kalthum dan Fatimah r.a.; dan tiga orang anak lelaki yang dinamakan Qasim, Tayyab and Tahir. Menurut sesetengahnya pula, beliau r.a. telah melahirkan empat orang anak lelaki; ada seorang yang bernama Abdullah, sedangkan setengah yang lainnya pula menyatakan bahawa yang sebenarnya Abdullah telah dipanggil sebagai Tayyab dan Tahir. Saidatina Khadijah r.a. telah berkahwin sebanyak dua kali sebelum berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. Perkahwinan pertamanya adalah dengan Abu Halah Hind bin Banash bin Zararah. Daripadanya, beliau telah mendapat seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Nama anak lelakinya ialah Hind dan anak perempuannya bernama Halah. Setelah kematian Abu Halah, Khadijah r.a. berkahwin dengan Atiq bin ‘Aid Makhzumi. Daripadanya dia mendapat seorang anak perempuan yang juga bernama Hind. Inilah sebabnya mengapa Saidatina Khadijah r.a. mendapat kunniyah sebagai Ummu Hind. Anak lelaki Saidatina Khadijah, Hind, telah memeluk Islam. (Seerat-un-Nabi, Jilid II, m/s 402).
Di sini, timbul satu persoalan, iaitu Saidatina Khadijah r.a. telah melahirkan empat orang anak sahaja di usia mudanya, namun semasa usia tuanya beliau telah melahirkan tujuh atau lapan orang anak, yang mana ia agak bertentangan dengan logik akal. Sebabnya, menurut Sains Perubatan, seorang wanita menjadi tidak subur untuk melahirkan anak, biasanya apabila melewati usia 45 tahun. Bagaimana pula boleh dipercayai bahawa lapan orang anak telah dilahirkan setelah melepasi usia 40 tahun? Pihak Orientalis dan musuh-musuh Islam telah memberi perhatian khusus terhadap riwayat ini, kerana peristiwa ini jelas bertentangan dengan akal. Dengan mendedahkan peristiwa seperti ini, mereka mengambil kesempatan untuk mencemuh Islam. Namun begitu, ulama kita sebaliknya menganggap kejadian ini sebagai ‘satu mukjizat’ Rasulullah s.a.w. Tambahan lagi mereka menganggap inilah keistimewaan nabi s.a.w. kerana sanggup mengahwini wanita yang tua sedangkan baginda s.a.w. sendiri muda belia. Di pihak yang lain golongan Syiah mendakwa adalah tidak mungkin melahirkan sebegitu ramai anak di usia tua. Oleh itu, Zainab, Ruqayyah dan Ummu Kalthum tidak diiktiraf sebagai anak nabi s.a.w. Golongan Syiah mengatakan bahawa umur Khadijah r.a. ialah 40 tahun semasa berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. Meskipun mereka amat mahir bermain dengan angka, mereka telah melakukan kesilapan bodoh bila mendakwa bahawa Fatimah r.a. dilahirkan lima tahun selepas kenabian. Dalam hal ini, Khadijah sudah berumur 60 tahun semasa melahirkan Fatimah r.a.. Dengan ini tidak mungkin Ruqayyah dan Kalthum adalah anak kepada Khadijah kerana mereka adalah lebih muda dari Fatimah. Kita akan membuktikan bahawa empat orang anak perempuan ini adalah dilahirkan oleh Saidatina Khadijah r.a. dari Rasulullah s.a.w.
Tetapi sebelum itu orang Syiah perlu membuktikan bahawa seorang wanita yang berusia 60 tahun boleh melahirkan anak. Dan apabila mereka membuktikannya, mereka mesti juga membuktikan bahawa Fatimah r.a. adalah anak kepada Khadijah r.a. Sebenarnya terdapat perbezaan pendapat tentang usia sebenar Khadijah r.a bila berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. Ada yang berkata umurnya 40 tahun. Ada yang berpendapat usianya 35 tahun. Yang lain pula mengatakan 30 tahun, dan sesetengah pula mengatakan 27 tahun, manakala ada pula yang menyatakan bahawa usianya 25 tahun. Ahli-ahli sejarah Syiah sependapat mengatakan umurnya 40 tahun, dan mereka menolak pendapat lain. Dan mereka riuh rendah menyebarkan pendapat ‘40 tahun’ ini seolah-olah pandangan lain tidak pernah wujud. Ulama kita dan ahli-ahli sejarah yang terkemudian juga terpengaruh dengan daayah ini dan menyangkakan bahawa pendapat golongan Syiah inilah yang ‘tepat’. Hafiz Ibn Kathir menulis: “Baihaqi telah memetik daripada Hakim iaitu apabila Rasulullah mengahwini Khadijah r.a., baginda s.a.w. adalah berumur dua puluh lima tahun dan Saidatina Khadijah r.a. berumur tiga puluh lima tahun, dan ada pendapat lain mengatakan usianya dua puluh lima tahun.” (al-Bidayah, Jilid II, m/s 295) Dengan lain perkataan, Baihaqi dan Hakim menyatakan bahawa Saidatina Khadijah r.a. berusia tiga puluh lima tahun pada waktu itu. Bersama-sama dengan itu, mereka juga turut mengatakan bahawa ada pendapat bahawa beliau r.a. berusia dua puluh lima tahun. Di tempat lain, Hafiz Ibn Kathir mengatakan usia Saidatina Khadijah r.a. pada masa kewafatannya, sebagaimana berikut: “Usia Saidatina Khadijah mencapai 65 tahun.
Satu pendapat mengatakan beliau meninggal pada usia 50 tahun. Dan pendapat ini (iaitu 50 tahun) adalah yang benar.” (al-Bidayah wan Nihayah, Jilid II, m/s 294) Ulama Hadis dan ahli sejarah bersetuju bahawa Saidatina Khadijah r.a. menjalani hidup sebagai isteri Rasulullah s.a.w. selama 25 tahun dan beliau r.a. meninggal dunia pada tahun ke-10 Kerasulan. Hafiz Ibn Kathir berkata; ‘pendapat yang benar adalah usianya mencecah 50 tahun’ telah membuktikan bahawa usia Saidatina Khadijah pada masa perkahwinannya ialah 25 tahun. Dan juga, Hafiz Ibn Kathir juga telah membuktikan bahawa ‘maklumat’ yang diterima pada hari ini (iaitu umur Khadijah r.a. 40 semasa berkahwin dengan Rasulullah s.a.w.) adalah salah dan tidak benar sama sekali.. Meskipun dengan fakta yang sebegini jelas, kita masih mempercayai (dan terperangkap) dalam berita yang lebih merupakan khabar angin semata-mata. Apabila kami mengkaji ‘Al-Bidayah wan-Nihayah’ yang ditulis oleh Ibn Kathir, barulah kami menyedari akan kesilapan kami. Semoga Allah yang Maha Kuasa mengampuni kami, kerana kami adalah mangsa kepada suatu salah faham yang besar. Moga Allah yang Berkuasa mengurniakan kepada kita semua kefahaman akan Kebenaran.
Zainab ialah anak perempuan baginda yang pertama dilahirkan ketika baginda berusia tiga puluh tahun iaitu selepas lima tahun baginda berkahwin dengan Siti Khadijah dan sempat memeluk Agama Islam dan berhijrah ke Madinah selepas peperangan Badar. Dan telah berkahwin dengan Abil ‘As sepupu sebelah ibunya. Islam telah memisahkan di antara Zainab dengan suaminya Abi ‘As apabila Zainab memeluk agama Islam dan Abil ‘As kekal dengan agama syiriknya tetapi Rasulullah SAW tak berupaya pada peringkat awalnya untuk mengasingkan di antara keduanyan sehinggalah Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Abul ‘As B. Ar-Rabi’ suami Zainab telah ikut bersama-sama kaum kafir Quraisy dalam peperangan Badar dan telah ditawan bersama-sama tawanan perang yang lain dan dibawa ke Madinah dan apabila ahli-ahli Mekah menghantar utusan untuk menebus tawanan perang masing-masing maka Zainab pun turut menghantar utusan untuk menebus Abul ‘As suaminya dengan memberi rantai tengkuknya yang telah diberikan oleh bondanya Siti Khadijah semasa perkahwinan dengan Abi ‘As dulu. Apabila Rasulullah SAW melihat rantai itu lalu baginda rasa kasihan yang amat sangat kepada Zainab lalu bersabda kepada para sahabatnya. Jika kamu fikir boleh membebaskan tawanan perang Zainab tanpa bayaran maka hendaklah kamu lakukan.
Jawab para sahabat, ya boleh wahai Rasulullah lalu Abil ‘As pun dibebaskan dan diberi balik rantai tengkuk Zainab kepadanya. Dan seterusnya baginda memberitahu Abil ‘As bahawa pembebasannya itu adalah dengan syarat pihak Abil ‘As melepaskan Zainab datang ke Madinah. Syarat ini diterima oleh Abul ‘As dimana beliau sebaik-baik saja sampai balik ke Mekah terus menyuruh Zainab bersiap untuk pergi bersama-sama ayahandanya di Madinah dan Zainab pun tidak membuang masa terus bersiap-siap dengan mengemaskan segala barang-barang keperluannya dan keluarlah ianya dari rumah suaminya menuju ke Madinah dengan satu kenderaan yang disediakan kepadanya oleh Kinanah B. Ar-Rabi’ iaitu adik beradik suaminya dan ini tidak dipersetujui oleh orang-orang Quraisy lalu dikejar dari belakang dan dilontar dengan lembing dan terkena kenderaan Zainab dan terjatuh Zainab yang sedang hamil ke atas batu pejal sehingga gugur kandungannya. Walau bagaimana pun Zainab dapat meneruskan perjalanannya dan mulai dari hari itu kedua-duanya tinggal berasingan. Abul ‘As di Mekah manakala Zainab di Madinah sehinggalah Abul ‘As memeluk Islam dan datang ke Madinah dan dikahwinkan semula oleh Rasulullah SAW dengan Zainab dalam tahun yang ke tujuh hijrah dan setahun kemudian Zainab pun meninggal dunia kerana kesan dari penyakit guguran yang menimpanya semasa terjatuh dari kenderaannya dalam perjalanan ke Madinah dahulu. Raqiah dilahirkan semasa baginda berusia tiga puluh tiga tahun iaitu selepas berkahwin dengan Khadijah delapan puluh tahun.
Pada mulanya Raqiah dikahwinkan dengan Utbah B. Lahab dan Umi Kalthum berkahwin dengan Utaibah B. Lahab, perkahwinan ini berlaku sebelum Muhammad diutus menjadi Rasul. Maka manakala turun ayat : تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ Surah Al-Lahab ayat 1. Maksudnya : Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan binasalah dia bersama. Ayat ini turun selepas Nabi Muhammad SAW memberi ingatan dan amaran kepada kaum kerabat baginda apabila turun ayat وَأَنذِرْ عَشِيرَتَكَ اْلأَقْرَبِينَ 214. As-Syu’ara’ yang bermaksud dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat yakni hendaklah kamu terlebih dahulu mengajak dan menyeru kaum kerabatmu yang dekat memeluk agama Islam. Abu Lahab pun memerintah kedua-dua anaknya Utbah dan Utaibah seupaya menceraikan kedua-dua anak perempuan Rasulullah Raqiah dan Umi Kalthum. Lalu mereka terus menceraikan kedua-dua isteri mereka dan kedua-dua pasangan tersebut sebenarnya belum lagi bersatu. Kemudian Raqiah telah berkahwin dengan Uthman Ibn ‘Affan di Mekah dan berhijrah ke Habsyah dan pada satu ketika putus berita keduanya dari pengetahun Rasulullah SAW sehingga diberitahu kepada baginda oleh seorang perempuan yang datang dari Habsyah bahawa beliau ada melihat kedua-duanya di Habsyah lalu Nabi bersabda ” صحبهما الله أن عثمان أول من هاجر بأهله بعد لوط Maksudnya : Allah telah menemani kedua-duanya. Sesungguhnya Uthman ialah orang yang pertama berhijrah bersama-sama keluarganya selepas Nabi Luth. Raqiah meninggal dunia di Madinah sewaktu Nabi sedang berperang di Badar. Umi Kalthum dilahirkan lebih kurang setahun selepas Raqiah dan apabila Rasulullah SAW turun dari rumahnya menuju rumah Abu Bakar As-Siddiq untuk menemani baginda ke gua Thur dan seterusnya berhijrah ke Madinah hanya Umi Kalthum dan Fatimah sahaja yang ditinggal di rumah dalam keadaan yang cemas dan gelisah tiada ada yang menjaga keduanya selain Allah.
Kemudian tibalah Zaid b. Harithah untuk menemani Umi Kalthum dan Fatimah berhijrah ke Madinah, dan setelah kakaknya yang sangat dikasihi Raqiah meninggal dunia beliau berkahwin dengan Uthman b. Affan dalam tahum yang ke sembilan hijrah. Keluarga Rasulullah SAW telah menyambut bayi perempuan (Fatimah) lima tahun sebelum Nabi Muhammad diutus menjadi Rasul iaitu setelah sepuluh tahun baginda berkahwin dengan Siti Khadijah dan Fatimah meripakan anak bongsu perempuan, beliau tinggal tetap di rumah ayahandanya sehinggalah berpindah ke Madinah bersama-sama kakaknya Umi Kalthum dan dikahwinkan dengan Ali b. Abi Tholib dalam tahun yang ketiga hijrah selepas peperangan Uhud dan Fatimah menjadi anak kesayangan baginda dan sekalian keluarganya. Rumah kediaman Fatimah terletak berhampiran dengan rumah baginda Rasulullah dan apabila baginda Rasulullah hendak musafir, rumah Fatimah yang akhir dijenguk oleh baginda dan begitu juga sekembalinya baginda dari musafir rumah Fatimah yang mula-mula dilawatinya selepas sembahyang dua rakaat di Masjid. Kemudia baginda mengunjungi rumah-rumah isterinya selepas itu sabda Nabi SAW: فاطمة بضعة مني فمن أغضبها أغضبني Yang bermaksud : Fatimah adalah sebahagian dariku maka sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyebabkan kemarahannya maka sesungguhnya ia melakukan perbuatan yang menyebabkan kemarahanku. Keadaan kehidupan Fatimah bersama Ali tidak boleh dianggap sebagai orang yang senang lenang malah boleh dikatakan hampir kepada kesusahan dan miskin. Ada hadis yang diriwayatkan dalam Musnad Al-Imam Ahmad dan Bukhari dan Muslim daripada Ali maksudnya : Bahawa Fatimah pernah mengadu tentang kesusahan buat kerja sendiri dan pernah ke rumah ayahandanya untuk mendapat khadam tetapi tak berhasil lalu ia memberitahu Saidatina Aisyah, maka apabila tiba baginda Rasulullah ke rumahnya Aisyah pun menceritakan tentang kedatangan Fatimah dan tujuannya lalu baginda pun terus pergi ke rumah Fatimah dan pada ketika itu Fatimah dan suaminya Ali mula masuk tidur dan apabila terdengar ketibaan ayahandanya Fatimah terus bangkit lalu baginda berkata tak payahlah duduklah di situ seraya bersabda ” ألا أعلمكما خيرا مما سألتماني , قلنا بلى قال كلمات علمنيهن جبريل . إذا أخذتما مضاجعكم من الليل فكبرا ثلاثا وثلاثين وسبحا ثلاثا وثلاثين واحمدا ثلاثا وثلاثين فهو خير لكما من خادم. Yang bermaksud : Tidakkah kamu setuju aku ajar kepada kamu satu perkara yang lebih baik daripada apa yang diminta oleh kamu berdua ? Jawab Fatimah dan Ali : Ya benar. Sabda Nabi ialah beberapa kalimah yang telah diajarkan kepada aku oleh Jibril. Yang bermaksud : “Apabila kamu mula mengambil tempat tidur di waktu malam hendaklah kamu baca takbir (Allahu Akbar) tiga puluh kali dan bertasbih (Subhanallah) tiga puluh kali dan bertahmid (Alhamdulillah) tiga puluh kali maka ianya lebih baik bagi kamu berdua daripada mendapat seorang khadam.
Selepas itu kehidupan mereka boleh dikatakan bahagia saling bantu membantu di antara satu sama lain serta dikurniakan Allah anak lelaki dan perempuan iaitu Hasan, Husin, Muhsin, Zainab dan Umi Kalthu” Pada permulaannya sewaktu anak sulungnya lahir mereka namakan Harb maka apabila Rasulullah SAW tiba baginda minta hendak tengok bayi yang baru lahir dan bertanya kamu beri nama apa ? Mereka menjawab Harb, sabda Rasulullah SAW (بل هو حسن) yang bermaksud : Bahkan ianya bernama Hasan begitu juga kelahiran Husin dan Muhsin tetapi Muhsin meninggal dunia semasa kecil lagi. Rasulullah memang bermanja-manja dan bermain-main dengan mereka. Pernah dilihat kanak-kanak tersebut memijak-mijak dada baginda dan lagi dilihat pada satu ketika sewaktu Rasulullah sedang sujud dalam sembahyang Hasan dan Husin naik atas bahu baginda maka baginda terus sembahyang dengan berhati-hati serta memanjangkan masa sujud kerana bimbang takut mereka terjatuh, malah pernah juga berlaku sewaktu baginda di atas mimbar maka tiba-tiba Hasan dan Husin muncul di hadapan baginda lalu baginda turun dari mimbar mendukung kedua-duanya seraya berkata :
Surah Al-Taghabun ayat 15. Yang bermaksud : Benar firman Allah yang Maha Besar sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu menjadi ujian. Dan apabila saja baginda terdengar cucu-cucunya menangis terus memanggil Fatimah sambil bertanya apakah yang menyebabkan mereka menangis ? Dan sambung lagi sabdanya :”Tidakkah kamu tahu bahawa tangisan mereka itu menyakiti aku”. Fatimah meninggal dunia di samping Saidina Ali dan anak-anaknya di Madinah selepas enam bulan daripada wafat ayahandanya Rasulullah SAW.
2.2 Perkahwinan Rasulullah Dengan SAUDAH BINTI ZAM’AH R.H Nabi Muhammad s.a.w. berkahwin dengan Saudah setelah 3 tahun kewafatannya Khadijah. Saudah adalah merupakan seorang janda tua. Suami pertamanya ialah al-Sakran bin Amr. Saudah dan suaminya al-Sakran adalah di antara mereka yang pernah berhijrah ke Habsyah. Apabila suaminya meninggal dunia setelah pulang dari Habsyah, maka nabi Muhammad s.a.w. telah mengambilnya menjadi isteri untuk memberi perlindungan kepadanya dan memberi penilaian yang tinggi kepada suaminya. Acara perkahwinan dilakukan oleh Salit bin Amr. Riwayat lain menyatakan upacara dilakukan oleh Abu Hatib bin Amr. Mas kahwinnya ialah sebanyak 400 dirham. Selain itu, beliau mempunyai sikap yang lucu sehingga baginda tersenyum dengan telatahnya. Contohnya pada suatu hari, Saudah mengatakan kepada suaminya iaitu semasa beliau sedang sujud, beliau tidak dapat menahan sakit kerana hidungnya selalu tertekan kuat di atas lantai yang ketika itu Rasulullah sedang sujud dengan begitu lama. Hal ini menyebabkan beliau terpaksa menaikkan sedikit hidungnya semasa sujud.
2.3 Perkahwinan Rasulullah Dengan AISHAH BINTI ABU BAKAR R.A Seorang perempuan bernama Kholeah Bint Hakim menyarankan agar Nabi SAW menikahi Aishah, puteri dari Abu Bakar khalifah islam yang pertama, dengan tujuan agar mendekatkan hubungan dengan keluarga Abu Bakar. Waktu itu Aishah sudah bertunang dengan Jober Ibn Al Moteam Ibn Oday, yang pada saat itu adalah seorang bukan muslim. Orang-orang di Mekah tidaklah keberatan dengan perkahwinan Aishah, walaupun masih muda, tapi Aisyah sudah cukup dewasa untuk memahami tentang tanggungjawab didalam sebuah perkahwinan. Nabi Muhammad s.a.w bertunang selama 2 tahun dengan Aishah sebelum bernikah dengannya. Dan bapa Aishah, Abu Bakar pun kemudian menjadi khalifah pertama setelah Nabi s.a.w wafat untuk menguruskan hal ehwal umat islam.
2.4 Perkahwinan Rasulullah Dengan HAFSAH BINTI UMAR R.H Hafsah adalah puteri kepada Umar, khalifah islam yang kedua. Pada mulanya, Umar meminta Uthman mengahwini anaknya, Hafsah. Tapi Uthman menolak kerana isterinya baru meninggal dunia dan dia belum bersedia untuk berkahwin lagi. Umar pun pergi menemui Abu Bakar yang juga menolak untuk mengahwini Hafsah. Akhirnya Umar pun mengadu akan halnya kepada nabi s.a.w bahawa Uthman dan Abu Bakar tidak mahu menikahi anaknya. Nabi s.a.w pun berkata pada Umar bahawa anaknya akan menikah demikian juga Uthman akan menikah lagi. Akhirnya, Uthman mengahwini anak Nabi s.a.w yaitu Umi Kaltsum, dan Hafsah sendiri menikah dengan Nabi s.a.w. Hal ini membuat Uthman dan Umar gembira.
2.5 Perkahwinan Rasulullah Dengan ZAINAB BINTI KHUZAIMAH R.H Suaminya terbunuh pada peperangan Uhud, meninggalkan dia yang miskin dengan beberapa orang anak. Dia sudah tua ketika nabi s.a.w mengahwininya. Dia meninggal dunia pada tiga bulan setelah perkahwinannya dengan nabi s.a.w. iaitu pada tahun 625 masihi.
2.6 Perkahwinan Rasulullah Dengan HINDUN UMMU SALAMAH AL-MAKHZUMIAH R.A Bapanya dari keturunan Arab yang baik dan terkenal. Sebelumnya Hindun telah berkahwin dengan sepupunya Abdullah B. Al-Asad Al-Makhzumi dan ianya dari kumpulan orang yang mula-mula memeluk agama Islam di mana beliau juga sepupu sebelah ibu dengan Rasulullah di samping menjadi saudara susu dengan baginda dan lagi beliau orang yang mula-mula berhijrah ke Habsyah bersama-sama dengan isterinya Hindun kemudian mereka balik ke Mekah dan berhijrah ke Madinah setelah banyak halangan dan dugaan ditempuhi. Abdullah suami Hindun meninggal dunia di Madinah kerana luka parah dalam peperangan Uhud dan Hindun sangat sayang kepada suaminya. Pada mulanya Abu Bakar dan Umar telah meminang beliau tetapi beliau menolaknya. Lalu Nabi masuk meminangnya untuk baginda sendiri dan pada mulanya beliau menolak pinangan Rasulullah dengan alasan beliau sudah tua dan ramai anak yatim. Maka Rasulullah menjawab bahawa baginda lebih tua daripadanya dan anak-anak yatim itu terserahlah kepada Allah dan rasul-Nya. Lalu Hindun pun menyatakan persetujuannya dan berkahwin dengan Rasulullah SAW.
2.7 Perkahwinan Rasulullah Dengan Zainab Bt. Jahsy Al-Asadiah R.A Sebagai menyahut perintah Allah Rasulullah telah mengahwinkan Zainab Bt. Jahsy dengan Zaid B. Harithah yang telah dimerdekakan oleh baginda dan dijadikan anak angkatnya. Kemudian baginda dikahwinkan dengan Zainab selepas diceraikan oleh Zaid kerana suatu hikmah yang mengatasi segala hikmah lain dalam perkahwinan baginda dengan isteri-isteri yang lain iaitu menghapuskan kepercayaan karut jahiliah yang masih berjalan sehingga dewasa itu. Bahawa anak angkat sama seperti anak sendiri diberi segala hak anak hatta harta pusaka dan sebagainya. Dan perkahwinan itu berlaku di tahun yang ketiga dan ada yang mengatakan di tahun yang kelima selepas hijrah. Apabila Allah menghendaki menghapuskan kepercayaan dan segala hukum karut jahiliah itu lalu Allah memerintahkan Rasulnya supaya mengahwinkan Zainab dengan Zaid dan Allah Taala memang mengetahui bahawa kedua-duanya (Zainab dan Zaid) tidak akan kekal lama. Rasulullah telah pergi menemui Zainab dan berkata : Sesungguhnya aku ingin kahwinkan engkau dengan Zaid B. Harithah dan aku telah berkenan Zaid untukmu. Maka jawab Zainab dengan berkata : Wahai Rasulullah aku tak setuju Zaid menjadi suami aku. Dan aku ini sepupu engkau dan aku tidak akan menerimanya. Maka berikutan dari itu turunlah ayat berikut :
Maksudnya : “dan tidaklah harus bagi orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. dan sesiapa Yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka Sesungguhnya ia telah sesat Dengan kesesatan Yang jelas nyata” Surah Al Ahzab: 36 Setelah itu Zainab pun menyatakan persetujuan lalu berkahwin dengan Zaid. Semasa mereka berdua hidup sebagai suami isteri, Zainab selalu mengeluarkan kata-kata kasar kepada Zaid dan membesar-besarkan dirinya, lalu Zaid pun pergi mengadu kepada Rasulullah dan meminta kebenaran dari Rasulullah untuk bercerai dengan Zainab maka jawab Rasulullah “امسك عليك زوجك واتق الله”” yang bermaksudnya : Jangan cerai isterimu itu dan bertakwalah kepada Allah. Rasulullah memang mengetahui satu ketika nanti akan berlaku juga perceraian di antara Zaid dengan Zainab dan Allah akan mengharapkan baginda berkahwin dengan Zainab sesudah bercerai nanti sebagai menghapuskan kepercayaan karut jahiliah tentang bekas isteri anaknya sendiri. Tetapi Rasulullah menyembunyikan perkara itu dan tidak menerangkan kepada Zaid dan kepada sesiapa pun kerana dibimbang orang akan bercakap lebih-lebih lagi golongan musyrikin. Bahawa Muhammad berkahwin dengan isteri anaknya lalu turun Firman Allah :
Maksudnya: dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika Engkau berkata kepada orang Yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan Yang Engkau juga telah berbuat baik kepadanya: “Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah”, sambil Engkau menyembunyikan Dalam hatimu perkara Yang Allah akan menyatakannya; dan Engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah Yang berhak Engkau takuti (melanggar perintahNya). kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan Engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang Yang beriman untuk berkahwin Dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). dan sememangnya perkara Yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku. Dan dalam firman Allah زوجنكها” yang bermaksud : Kami kahwinkan engkau dengannya, itu menunjukkan bahawa perkahwinan tersebut adalah dari Allah SWT sebagaimana yang disebutkan tentang hikmatnya dan bukan dengan kehendak dan kecenderungan Nabi SAW dan tidak berlangsung akad nikah seperti mana yang telah berlaku dengan isteri-isteri yang lain kerana perkahwinan Allah kepada Nabi lebih kuat dan mengatasi segala akad yang lain.
2.8 Perkahwinan Rasulullah Dengan JUWAIRIYAH BINTI AL-HARITH R.H Juwairiah adalah salah seorang dari tawanan perang Bani Al-Mustaliq dan telah dapat kepada salah seorang Ansar maka Juwairiah hendak menebus dirinya dari tuannya lalu diletakkan harga yang sangat mahal memandang kepada bapanya orang besar dan ketua Kaum Bani Al-Mustaliq serta mampu membayarnya. Tetapi Juwairiah bimbang dan takut dari kesan dan implikasi harga yang keterlaluan itu. Lalu pergi mengadu kepada Rasulullah dan pada ketika itu baginda berada di rumah Siti Aisyah dan berkata kepada Rasulullah : “Saya Juwairiah Bt. Al-Harith Abi Dirar ketua kaumnya dan aku telah ditimpa kemalangan di mana engkau lebih mengetahuinya. Sesungguhnya aku telah jatuh ke tangan seorang Ansar maka tak dapat tidak aku mesti menebus diriku. Sebab itu aku datang meminta pertolongan engkau”. Maka sabda nabi, “adakah engkau berkehendak yang lebih baik dari itu ?” Berkata Juwairiah “apa dia ?” Sabda Nabi, “aku tebus engkau dan aku berkahwin dengan engkau”. Tawaran ini diterima oleh Juwairiah. Maka apabila berita perkahwinan Rasulullah SAW dengan Juwairiah tersebar, golongan Ansar telah membebas tawanan perang dari Kaum Ban Al-Mustaliq sebagai menghormati besan Rasulullah. Berikutan dari perkahwinan ini Rasulullah telah membina rumah yang khusus bagi Juwairiah berdekatan dengan rumah-rumah isterinya yang lain berhampiran dengan masjid.
2.9 Perkahwinan Rasulullah Dengan SAFIYYAH BINTI HUYAI R.H Dalam tahun yang keenam hijrah Rasulullah SAW telah berkahwin dengan Sofiah dari keturunan Nabi Allah Harun dan ianya dari golongan Bani Al-Nadhir dan telah ditawan selepas kematian suaminya dalam peperangan Khaibar. Para sahabat telah memberitahu Rasulullah bahawa Sofiah tak sesuai bagi orang lain selain daripada baginda sendiri. Maka Rasulullah bersetuju dengan pendapat itu serta tidak mahu membiarkan Sofiah hidup dalam penderitaan dan dengan itu juga dapat membuat perhubungan silaturahim dengan kaum Bani Israel mudah-mudahan dapat meringankan sedikit sebanyak permusuhan mereka terhadap Rasulullah. Imam Ahmad telah meriwayatkan bahawa baginda telah memberi kepada Sofiah pilihan selepas dibebaskan dari belenggu kehambaan hendak menjadi isterinya atau balik kepada kaum keluarganya, maka Sofiah memilih untuk menjadi isteri Rasulullah SAW.
2.10 Perkahwinan Rasulullah Dengan UMMU HABIBAH BT. ABI SUFIAN AL-UMAWIYAH R.A Perkahwinan Rasulullah dengan Ummul Mukminin Habibah Bt Abi Sufian berlangsung dalam tahun ketujuh hijrah dan namanya yang sebenar ialah Ramlah. Sebelumnya Ramlah menjadi Isteri kepada Abdullah B. Jahsy dan telah berhijrah buat kali kedua bersama Ramlah ke Habsyah. Kemudian suaminya Abdullah masuk Kristian dan keluar dari agama Islam (murtad) dan mati di Habsyah manakala Ummu Habibah tetap tidak berganjak dari agama Islam. Maka Rasulullah telah menghantar Amru dan Umaiyyah A-Dhomiri kepada An-Najasyi untuk meminang Sofiah dan berkahwin dengan baginda secara wakil lalu An-Najasyi mengutus seorang gundik bernama Abrahah untuk memberitahu Ummu Habibah lamaran baginda itu itu dengan katanya (Abrahah) : Sesungguhnya Raja telah bertitah bahawa Rasulullah memberi wakil kepadanya untuk mengahwinkan engkau dengan baginda maka hendaklah engkau pula memberi wakil kepada sesiapa dalam urusan perkahwinan engkau ini. Lalu Ummu Habibah bersetuju dan memberi wakil kepada Khalid B. Said B. Al-As B. Umayyah B. Abd Syams Ibn Abd Manaf dan seterusnya berlangsunglah perkahwinan baginda dengan Ummu Habibah dengan mas kahwin sebanyak empat ratus dinar mas di mana An-Najasyi telah membayarnya kepada Khalid dan setelah selesai akad nikah mereka pun mahu meninggalkan majlis lalu An-Najasyi bertitah : “Tunggu dan duduk dulu kerana mengikut Sunnah Nabi-nabi apabila berlangsungnya perkahwinan mesti diadakan jamuan maka mereka pun dijemput ke satu majlis jamuan sempena dengan perkahwinan tersebut dan apabila selesai barulah mereka bersurai”. Ummu Habibah menyambung cerita, apabila mas kahwin diberi kepadanya lalu ia memberi kepada Abrahah sebanyak lima puluh dinar tetapi Abrahah menolaknya. Kemudian pada keesokan hari Abrahah telah memberinya hadiah berupa minyak atar, kayu gaharu dan barang-barang makanan yang banyak maka aku bawa balik bersama-sama ku menghadap Rasulullah SAW. Dengan perkahwinan Rasulullah SAW dengan Ummu Habibah itu boleh meredakan ketegangan baginda dengan musuh ketatnya Abi Sufian di samping tidak membiarkan Ummu Habibah sebagai seorang janda yang dihina di negeri asing setelah suaminya masuk Kristian.
2.11 Perkahwinan Rasulullah Dengan MAIMUN BT. AL-HARITH AL-HILALIAH R.A Di akhir tahun yang ketujuh hijrah Rasulullah telah berkahwin dengan Maimun Bt. Al-Harith dan namanya yang sebenar ialah Barrah tetapi dipanggil Maimunah. Saidatina Aisyah menyatakan bahawa Maimunah adalah yang paling takwa kepada Allah dari kalangan kami dan dialah yang menjadi orang perantaraan dalam hubungan silaturahim di antara kami sekalian dan orang yang pertama mendorong kepada perkahwinan ini ialah bapa saudara baginda Al-Abbas dan jika tidak ada apa-apa kebaikan dan masaalah sudah tentu bapa saudara baginda Al-Abbas tidak mengambil berat dan tidak mengesyorkan kepada baginda untuk berkahwin dengan Maimunah. Kesimpulannya : Bahawa baginda Rasulullah SAW mementing dan mengambil kira kemuslihatan dalam memilih setiap isterinya baik dari segi perundangan. Timbang rasa dan jaminan bagi janda-janda yang suami mereka gugur syahid dalam peperangan dan anak-anak yatim. Berapa banyak pembesar-pembesar kabilah tertarik kepada Rasulullah melalui perkahwinan di samping memberi pengajaran kepada pengikut-pengikutnya bagaimana cara menghormati perempuan serta berlaku adil terhadap mereka dan menetapkan hukum kekeluargaan dan sebagainya. Jika sekiranya baginda hendak bersuka ria dan berseronok dengan cara berpoligami sudah tentu baginda akan memilih anak-anak dara yang cantik-cantik dan tidak mengambil perempuan-perempuan janda yang mempunyai anak dan sebagainya. Berpoligami pada masa itu merupakan satu perkara yang tak dapat dielakkan malah ianya termasuk dalam perkara darurat disebabkan banyak lelaki gugur di medan perang dan perempuan-perempuan yang ditinggalkannya perlu mendapat perhatian dan jaminan hidup kerana sebilangan besar daripada keluarganya adalah dari golongan musyrikin. Perkahwinan seperti ini adalah semata-mata untuk kebaikan dan kepentingan perempuan dan bukan untuk lelaki.
2.12 Perkahwinan Rasulullah Dengan MARIAH BINTI SYAM’UN R.H Dia mulanya adalah orang yang membantu menangani permasalahan dirumah Rasullullah s.a.w yang dihantar oleh Raja Mesir. Dia sempat melahirkan seorang anak yang diberi nama Ibrahim. Ibrahim akhirnya meninggal pada umur 18 bulan. Tiga tahun setelah menikah, Nabi s.a.w wafat, dan Maria akhirnya meninggal 5 tahun kemudian, tahun 16 hijrah. Waktu itu, Umar bin Khatab yang menjadi Imam solat Jenazahnya, dan kemudian dimakamkan di perkuburan Al-Baqi.
6.0 HIKMAH LARANGAN MENGAHWINI ISTERI RASULULLAH SELEPASNYA Pertama ialah kerana Rasulullah mengahwini wanita yang sudah tua, muda belia dan pertengahan. Dalam setiap perkembangan umur, wanita mempunyai masalah sendiri. Kehidupan baginda baginda secara praktis harus mempunyai reaksi langsung dan sesuai dengan setiap perkembangan. Semua ini demikian di imbaskan kepada umat islam, sehingga menunjang kepentingan kerasulan yang telah yang telah dijadikan Allah sebagai penerangan segala sesuatu yang ada dalam kehidupan manusia. Kedua ialah, dalam islam, wanita juga mempunyai beban kewajiban seperti halnya lelaki. Tetapi ia mempunyai pengkhususan yang berbeza dengan kaum lelaki. Beberapa panduan wanita yang menjadi isteri bagibda membantu pengimbasan sesuatu yang ada kaitannya dengan wanita kepada umat islam. Ketiga ialah perkahwinan rasulullah dilakukan dengan para wanita yang suci. Diantara mereka ada yang berasal dari kalangan quraisy dan selain itu ada yang berasal dari kalangan yahudi. Orang tua mereka pula ada dari kalangan muhajirin dan ada daripada kalangan kafirin waktu baginda menikahinya. Keempat, adanya hubungan antara Rasulullah dengan beberapa wanita yang menjadi isteri baginda dari beberapa masyarakat, telah menjadikan hubungan antara wanita-wanita muslimah semakin luas. Sehinnga penyampaian hukum kepada mereka menjadi mudah. Masing-masing dia antara mereka dapat menghubungi ummahatul mukminin yang mempunyai hubungan persaudaraan atau yang sebaya umurnya. Tanpa itu semua tidak mungkin satu wanita sahaja dapat menerangkan segala permasaalahan mengenai wanita. Tanpa itu semua tidak mungkin kita akan dapat melihat beribu hadis yang diriwayatkan oleh Rasulullah dan isteri-isterinya, yang membicarakannya tentang beribu-ribu masalah yang begitu rumit dan sukar di ketahui.
SUMBER : sirahnabikita.blogspot.com
BERITA
Ramai masih tak tahu selama ini ada air bertakung dalam kereta… Cuba periksa 5 lubang saliran ini, perlu dibersihkan selalu
SELAIN penyelenggaraan kereta di pusat servis, ada beberapa bahagian pada kenderaan yang perlu diuruskan sendiri. Tahukah anda terdapat lima lubang saluran