
HASRAT untuk tampil sihat dan cergas mendorong ramai individu menjalani rutin senaman yang intensif.
Namun tanpa disedari, senaman berlebihan dalam tempoh singkat atau berterusan terutamanya bagi mereka yang baru memulakan gaya hidup aktif, boleh membawa padah.
Salah satu risiko yang kian mendapat perhatian ialah rhabdomyolisis, satu keadaan perubatan serius yang boleh menjejaskan otot dan buah pinggang.
Seorang pakar perubatan, Dr Badrul Abu Bakar turut berkongsi pengalamannya didatangi pesakit muda berusia 25 tahun yang didiagnos menghidap rhabdomyolisis kerana senaman berlebihan.
“Pesakit usia 25 tahun datang dengan sakit pada kedua belah tangan dan kaki yang sangat teruk. Pain score 10/10.
“Pesakit tu baru lepas buat aktiviti lasak… berkayak, berjogging, berbasikal. Malam main futsal semuanya dalam satu hari yang sama.

“Apabila ambil ujian darah, enzim kreatin kinase atau protein dalam darah sangat tinggi, cecah 3,000 ke atas.
“Buah pinggang pun bocor. Didiagnos sebagai rhabdomyolisis,” tulisnya dalam satu perkongsian di TikTok.
Menurut beliau, melakukan aktiviti lasak secara berterusan mungkin dianggap perkara biasa namun sebenarnya sangat berbahaya jika ia dilakukan tanpa rehat yang mencukupi.
Beliau turut menerangkan komplikasi yang bakal berlaku sekiranya didiagnos dengan rhabdomyolisis, iaitu:
1.Kecederaan buah pinggang
2.Boleh mengganggu degupan jantung
3.Boleh mengganggu garam galian dalam badan
4.Kekejangan otot yang memerlukan pembedahan
“Lazimnya orang yang kena masalah ni adalah mereka yang tak pernah buat aktiviti lasak dan badan dia tak boleh adapt dengan situasi tu,” ujarnya.
Antara simptom awal rhabdomyolisis termasuk sakit otot yang luar biasa, kelemahan otot, bengkak pada anggota badan, dan air kencing berwarna gelap seperti teh.
Ramai yang mengabaikan tanda-tanda ini kerana menyangkanya sebagai kesan biasa selepas bersenam.
Kesimpulannya, keinginan untuk sihat haruslah disertai dengan ilmu dan kesedaran.
Jangan biarkan senaman untuk sihat menjadi punca masuk hospital. Cegah sebelum parah!


