SEPANG: Penerjun berpengalaman negara, Nur Dhabitah Sabri menyifatkan musuh terbesarnya pada Sukan Olimpik Paris 2024 adalah masa, sehingga menyebabkan dia tidak berjaya menghadiahkan sebarang pingat buat negara.
Bagaimanapun, atlet berusia 25 tahun itu menegaskan dia berpuas hati dengan semua temasya Olimpik yang disertainya kerana telah memberikan sehabis baik dalam setiap temasya tersebut.
Meskipun keputusan yang diraih tidak seperti yang diharapkannya, tetapi Dhabitah berkata dia itu tidak pernah menyesal.
“Sesiapa pun boleh cakap saya adalah atlet yang berpengalaman… kita berubah dari segi badan, teknik dan semua benda berubah dan tidak boleh harap ia kekal sama (bentuk fizikal).
“Kami (para atlet) memberikan sepenuhnya kerja keras dan bersemangat untuk buat benda yang kita sayang dan paling penting adalah kerja keras yang kami berikan ketika berlatih.
“Kami tidak menyesal dan banyak lagi perkara boleh dilakukan. Macam saya cakap, masa adalah musuh terbesar saya,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Selasa.
Dhabitah bersama rakan penerjunnya, Bertrand Rhodict Lises tiba sekitar jam 4.40 petang di tanah air dan disambut meriah oleh para peminat yang menunggu mereka sejak tengah hari tadi.
Dia yang tampil dengan tiket wild card ke temasya sukan terbesar dunia itu menamatkan aksi final acara 3 meter (m) papan anjal wanita di kedudukan terakhir daripada 12 peserta selepas mengutip 244.80 mata keseluruhan.
Sementara, Bertrand Rhodict terlepas peluang ke separuh akhir acara 10 meter platform lelaki apabila menamatkan saingan di tempat ke-25.
Berkongsi lanjut, atlet kelahiran Kuala Lumpur itu berkata dia boleh beraksi lebih baik jika mempunyai cukup masa untuk berlatih.
Begitu pun, pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu berpandangan komunikasi dalam pasukan amat penting demi memastikan setiap atlet dapat memberikan prestasi yang membanggakan.
Ditanya mengenai tumpuannya selepas ini, Dhabitah berkata ketika ini dia mahu meluangkan masa untuk merehatkan fizikal dan mentalnya selepas sibuk berlatih.
“Saya tidak ada kata putus nak buat apa lagi, buat masa sekarang saya nak rehat dahulu,” katanya lagi.
Pada temasya Olimpik Tokyo 2020, Dhabitah menamatkan saingan di kedudukan keempat dengan 326.15 mata keseluruhan.