Penawar hati resah berdepan ujian COVID-19

Share This Post

Al-Quran penawar hati resah berdepan ujian COVID-19

Keresahan akibat ujian wabak COVID-19 yang melanda seolah-olah ditenggelami ‘kemeriahan’ ibadah Ramadan, di samping kesyukuran penurunan kes baharu dan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Namun, ia tetap menjadi cabaran untuk membiasakan normal baharu pelaksanaan solat tarawih bersama ahli keluarga di rumah, walaupun rindu kemeriahan solat tarawih di masjid dan surau.

Selain tarawih, bertadarus atau membaca al-Quran menjadi ibadah sinonim bagi umat Islam pada Ramadan.

Bulan mulia ini kesempatan terbaik untuk mengkhatamkan 30 juzuk, di samping tadabur setiap isi kandungan dan pengajaran surah dalam al-Quran.

Al-Quran ialah kitab suci mengandungi segala ilmu dan petunjuk yang dapat membimbing insan ke jalan benar. Tidak hairanlah setiap umat Islam meletakkan al-Quran sebagai dasar dan matlamat utama hidupnya.

Melalui al-Quran, kita dapat meraih pelbagai faedah dan hikmah daripada kemukjizatan ayat di dalamnya termasuk teras ilmu dan nilai ketakwaan, keadilan, menjaga hubungan sesama insan, bahkan tanggungjawab kita terhadap alam sekitar termasuk haiwan dan tumbuh tumbuhan.

Begitulah sifat al-Quran, iaitu kalamullah yang menjadi panduan dan petunjuk sepanjang zaman.

Nilai dan panduan digagaskan dalam al-Quran sangat sesuai diterapkan pada setiap zaman dan keadaan. Kitab ini tiada syak di dalamnya, sekali gus menjadi panduan orang beriman.

Firman Allah SWT: Kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya, ia menjadi petunjuk bagi orang bertakwa. (Al-Baqarah: 2)

Sebagai hamba Allah SWT, kita hendaklah sentiasa mendekatkan diri dengan al-Quran dengan menjadikannya sebagai teman sepanjang kehidupan. Kita perlu merujuk dan memandu diri ke arah kebenaran melalui panduannya.

Menjadikan al-Quran sebagai teman bererti sentiasa hampir, mendekati, mendampingi dan tidak mudah lupa dengannya. Teman atau sahabat ini akan terus hampir dengan kita bukan sahaja di dunia, bahkan menjadi teman di alam barzakh dan akhirat.

Sekiranya tidak menjadikan al-Quran sebagai teman sejati dalam hidup ini, dikhuatiri akan diambil kesempatan oleh syaitan untuk mempengaruhi setiap perbuatan kita.

Jiwa kosong pasti akan diselubungi hasutan yang akan merosakkan diri. Oleh itu, dekatkan diri dengan al-Quran dan jauhilah diri kita daripada gangguan serta hasutan syaitan kerana ia adalah musuh utama manusia.

Firman Allah SWT: Sesiapa berpaling daripada pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (al-Quran), kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan), maka syaitan itulah menjadi teman yang selalu menyertainya. (Al-Zukruf: 36)

Al-Quran sebagai teman sejati mencerminkan manifestasi ubudiyah yang sangat mendalam bagi mukmin.

Teman sejati penting dalam memberi panduan dan dorongan untuk sentiasa berada di jalan Allah SWT, sekali gus memberi nasihat serta galakan terus berada di jalan takwa.

Oleh itu, bagi memastikan al-Quran hadir dalam diri dan hidup kita, terdapat beberapa kaedah menjadikannya sebagai teman sejati.

Pertama, kita perlu mengambil peluang sentiasa belajar membacanya, memahami makna ayat dan berusaha menghayatinya dalam segenap kehidupan.

Al-Quran ialah kitab hidayah dan petunjuk, pengubat kepada segala penyakit jiwa serta hati manusia agar sentiasa disirami dengan cahaya Allah SWT.

Pembaca al-Quran diumpamakan sebagai buah berbau harum dan wangi di sisi Allah SWT.

Abu Musa RA meriwayatkan Nabi SAW bersabda: “Orang mukmin yang selalu membaca al-Quran seperti buah utrujjah, bau dan rasanya enak. Orang mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti kurma, tidak berbau tetapi rasanya manis.

“Orang munafik yang selalu membaca al-Quran seperti raihanah, baunya harum tetapi pahit rasanya. Orang munafik yang tidak membaca al-Quran seperti hanzalah, tiada bau dan pahit rasanya.” (HR Bukhari)

Kedua, umat Islam wajib meyakini mukjizat al-Quran sebagai kitab agung dikurniakan Allah SWT yang menjanjikan kemuliaan terutama bagi mereka yang sentiasa mendekatkan diri.

Bagi mempunyai hubungan rapat, seseorang perlu sentiasa merujuk dan mempelajari hukum-hakamnya yang bukan sahaja untuk dirinya dan ilmu di dunia sahaja malah sebagai bekal di akhirat nanti.

Lebih utama, ia adalah dapat menghindarkan diri daripada kesesatan nyata. Allah SWT berfirman: Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dari-Ku, nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara. (Taha: 123)

Ketiga, bagi membuktikan persahabatan dengan al-Quran, kita perlu berusaha menghafaz ayatnya agar hafazan itu boleh menjadi penenang, penyubur dan sumber kekuatan bagi mendepani segala cabaran dalam kehidupan.

Segala ayat yang kita tekuni untuk membaca dan menghafaznya ialah kalam sangat mulia dijanjikan syurga dengan membacanya, bahkan sebagai syafaat akan membantu kita di akhirat.

Abu Umamah al-Bahili RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah Al-Quran, kerana ia akan datang pada hari Kiamat sebagai pemberi syafaat bagi pembacanya.” (HR Bukhari)

Allah SWT menjanjikan al-Quran akan memberi ketenangan kepada jiwa kosong dan bermasalah. Suasana tertekan dan kepayahan akibat ujian wabak pastinya memberikan kesan.

Penyelesaian terbaik kepada orang yang tidak tenang, dekatilah al-Quran. Tekunilah membacanya dan berusahalah untuk memahaminya, mudah-mudahan menjadi penawar untuk menenangkan hati dibelenggu keresahan.

Mendengar dan menghayati bacaan al-Quran, nescaya akan dapat menghiburkan perasaan sedih, menenangkan jiwa gelisah dan melunakkan hati keras.

Itulah dimaksudkan rahmat Allah SWT. Firman Allah SWT: Hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang. (Ar-Ra’d: 28)

Penulis adalah Pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia

sumber : BHarian

More To Explore

Subscribe To Our Newsletter

Get updates and learn from the best

Wedding Planner Najiha Online

Event type : Annual Dinner, Annual General Meeting (AGM), Association Dinners, Association Meetings, Awards Night, Concert, Conference, Convention, Exhibitions, Product Launch, Product Talk, ROM, Seminar, Wedding Dinner, Wedding Reception, Wedding Venue